comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Dunia – Klinsmann ramal pasukan ‘underdog’ mampu lakar kejutan

Klinsmann pada sidang media. – Foto: Reuters

DOHA: Legenda Jerman, Jurgen Klinsmann berkata pasukan underdog mampu melangkah lebih jauh dalam apa yang diramalkan akan menjadi ‘kejutan di Piala Dunia’ dekat Qatar.

Perubahan jadual berbanding kebiasaannya antara Jun dan Julai bermakna Piala Dunia kali ini berlangsung pada pertengahan musim kelab di Eropah, di mana majoriti pemain terkemuka beraksi. Ia juga adalah Piala Dunia kedua di Asia.

“Saya rasa pasukan underdog mampu melakar kejutan di Piala Dunia kali ini. Mungkin ia adalah pasukan dari Afrika.

“Jika pasukan Asia mempunyai keberanian yang tinggi, saya fikir mereka juga boleh pergi jauh.

“Ia bukan kejohanan untuk anda bertahan. Saya rasa ia adalah kejohanan yang benar-benar mencabar pasukan untuk pergi lebih jauh,” kata Klinsmann pada sidang media di Doha.

Kini sudah berusia 58 tahun, bekas penyerang itu beraksi dengan pasukan Jerman Barat yang memenangi Piala Dunia pada 1990 dan kemudian membimbing Jerman menduduki tempat ketiga ketika menjadi tuan rumah 2006.

Klinsmann kini kembali ke Piala Dunia sebagai ahli Kumpulan Kajian Teknikal Fifa yang menganalisis perlawanan di kejohanan itu.

Kumpulan itu diselia oleh bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Piala Dunia bermula hanya seminggu selepas perlawanan terakhir berlangsung di liga terkemuka Eropah sekali gus menyaksikan pasukan kebangsaan mempunyai masa terhad untuk melakukan persiapan.

Situasi itu mencetuskan kebimbingan berhubung faktor kecederaan pemain namun Klinsmann menegaskan persediaan yang singkat tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Saya percaya bahawa kita akan menyaksikan kejohanan yang sangat berkualiti tinggi kerana pemain tidak memerlukan persiapan lain seperti yang biasa mereka lakukan sebelum ini,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini