comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Dunia – Penyudah tumpul belenggu Mexico

Ketua jurulatih Mexico, Gerardo Martino ketika sesi latihan bersama pasukannya sebelum perlawanan menentang Arab Saudi. – FOTO: AP

DOHA: Ketiadaan penyudah menjadi isu serius buat Mexico, namun ia tidak seharusnya 100 peratus dipersalahkan di bahu penyerang, kata jurulatihnya Gerardo Martino menjelang aksi ‘wajib menang’ ke atas Arab Saudi dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan C Piala Dunia, Khamis ini.

Ketumpulan bahagian serangan menjadi masalah buat Mexico sebelum Piala Dunia lagi dan mereka masih belum meledak jaringan di Qatar, tatkala pasukan kini berada di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata selepas terikat 0-0 dengan Poland dan tewas di tangan Argentina 2-0.

Mexico mempunyai rekod baik dalam tujuh Piala Dunia sebelum ini dengan berjaya mara ke pusingan kalah mati, namun mereka kini berdepan ancaman disingkirkan sekiranya gagal ‘menjinakkan’ Arab Saudi.

Ditanya sekiranya bimbang dengan prestasi hambar di hadapan gol, Martino berkata: “Sekarang ini, ia adalah serius kerana pasukan perlu menjaringkan gol dalam perlawanan esok (Khamis).

“Apa yang berlaku pada tahun lalu disebabkan isu lain kerana pemain penyerang kami berdepan masalah fizikal. Sesetengah mereka berada dalam keadaan baik di Piala Dunia, tetapi ia bukan hanya mengenai penyerang.

“Kami semua berkongsi tanggungjawab. Ia adalah kerjasama sepasukan dan bukan kepada sesetengah posisi saja,” katanya.

Persepsi negatif menyelubungi Mexico ketika mereka bersiap sedia untuk Piala Dunia selepas menunjukkan tanda tidak konsisten dalam saingan kelayakan dan juga pemanas badan.

Peminat juga begitu kritikal terhadap jurulatih dari Argentina itu.

Pemain tengah, Andres Guardado begitupun, berkata pemain percaya mereka mempunyai peluang untuk mara ke pusingan 16 terbaik.

“Apabila kamu menerima tamparan, kamu perlu menerimanya dan pantas bangkit,” kata Guardado.

“Kami mempunyai peluang besar untuk melupakan kekalahan di tangan Argentina dengan perlawanan genting bertemu Arab Saudi. Kami percaya dengan peluang yang ada dan tiada siapa katakan ia mustahil,” katanya.

Arab Saudi mengejutkan pasukan dibarisi Lionel Messi, Argentina dengan menewaskan lawan 2-1 pada saingan pembuka tirai namun Martino berkata, dia tidak gentar dengan barisan Arab Saudi.

“Kami menghormati pihak lawan dan tidak menyedari apakah yang mereka lakukan ke atas Argentina dan juga pada separuh masa pertama ketika menentang Poland. Saya tidak gentar, apabila kami berjuang kami tidak berasa takut,” katanya. – Reuters

Loading...
Terkini