comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Dunia – Semangat Ronaldo tak luntur

Ronaldo ketika sesi latihan. – Foto: Reuters

DOHA: Bernardo Silva menegaskan suasana di sekitar pasukan Piala Dunia Portugal berada di tahap tertinggi walaupun diselubungi isu kontroversi dicetuskan Cristiano Ronaldo ketika ditemuramah di England, baru-baru ini.

Pemenang Ballon d’Or lima kali dan penjaring gol antarabangsa terbanyak sepanjang zaman itu menyelar kelabnya, Manchester United dan jurulatih Erik ten Hag awal minggu ini ketika bercakap kepada TalkTV.

Soalan mengenai Ronaldo mendominasi sidang akhbar Silva dan pemain tengah Manchester City itu tidak berminat untuk menjawab secara terperinci namun katanya, penyerang itu kekal fokus dan bermotivasi tinggi.

“Berita dari England tiada kaitan dengan pasukan kebangsaan.

“Ia juga tiada kaitan dengan saya, jadi saya tidak akan memberi komen. Saya bukan pemain Manchester United, malah jika saya pemain kelab itu pun saya tidak akan menjawab pertanyaan anda.

Mereka adalah pesaing dan ia tiada kaitan dengan saya,” katanya.

Bagaimanapun, dia terus diasak pertanyaan mengenai Ronaldo sama ada berlaku ketegangan dalam pasukan apabila dilihat mempunyai hubungan dingin dengan rakan sepasukannya di United, Bruno Fernandes.

“Saya tidak nampak suasana pelik dalam pasukan antara Cristiano dan pemain lain.

“Saya lihat Ronaldo seorang yang bermotivasi dan kekal fokus, seperti pemain lain dan dia salah seorang pemain yang mahu membantu pasukan kebangsaan.

“Terdapat banyak perbincangan mengenai topik ini, tetapi kami tetap fokus kepada saingan Piala Dunia,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini