comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Dunia – Van Dijk kembali perkuat Belanda

Van Dijk pada sidang media. – Foto: AFP

DOHA: Apabila Belanda kembali ke Piala Dunia selepas gagal layak pada 2018, mereka akan diketuai oleh Virgil van Dijk yang muncul antara salah seorang pertahanan terbaik di dunia.

Van Dijk terlepas beraksi pada saingan Euro 2020 tahun lalu selepas mengalami kecederaan koyak ligamen anterior cruciate.

Selepas melalui pelbagai cabaran, kini pemain berusia 31 tahun itu akan beraksi di kejohanan antarabangsa utama pertamanya.

“Kami perlu percaya dan yakin kepada kemampuan kami.

“Kami mempunyai pengurus (Louis van Gaal) yang hebat dan berpengalaman. Kami mempunyai pemain yang beraksi di tahap tertinggi dan kelab terbesar di dunia,” kata Van Dijk.

Kemunculan Van Dijk dilihat tepat pada masanya bersama pasukan Belanda yang sedang melalui perubahan selepas gagal layak beraksi di Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.

The Oranje tersingkir pada pusingan 16 terakhir di saingan Euro 2020 tanpa Van Dijk yang cedera, tetapi mereka tidak tewas dalam 15 perlawanan sejak pelantikan semula Van Gaal pada Ogos 2021.

“Kami ada pengalaman, kami ada bakat serta campuran pemain yang bagus. Pertama sekali kami mempunyai semangat berpasukan. Saya rasa itu permulaan kepada kunci kejayaan.

“Sudah tentu ia tidak menjamin kejayaan tetapi ia adalah cara yang terbaik untuk memulakan kempen di sini dan kami menantikan perlawanan pertama,” kata Van Dijk. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini