comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala FA: 5 gol Haaland bantu City benam Luton

Penyerang Manchester City, Erling Haaland (kanan) meraikan gol ketiganya bersama Kevin De Bruyne dan Matheus Nunes ketika menentang Luton Town pada pusingan kelima Piala FA Inggeris di Kenilworth Road, Luton awal pagi tadi. – Foto: Reuters

LONDON: Penyerang Manchester City, Erling Haaland meledak lima gol ketika penyandang juara Piala FA Inggeris itu berpesta gol membelasah Luton Town 6-2 pada pusingan kelima awal pagi tadi.

Ia kali kedua Haaland menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan bersama City selepas aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig pada Mac 2023.

Dibantu dengan tiga umpanan gol Kevin De Bruyne, Haaland melengkapkan hatriknya dalam tempoh 40 minit pertama di Kenilworth Road.

Jordan Clark menyumbat dua gol untuk mengurangkan defisit Luton kepada 3-2 buat seketika.

 

Pemain Luton Town, Jordan Clark (dua dari kanan) menyumbat dua gol buat pasukannya menentang Manchester City pada pusingan kelima Piala FA Inggeris di Kenilworth Road, Luton awal pagi tadi. – Foto: Reuters

Namun impian Luton untuk melakukan kebangkitan mengagumkan dinafikan oleh Haaland apabila penyerang Norway itu menambah dua gol lagi selepas rehat untuk memastikan kemaraan City ke suku akhir.

Gol keenam disumbangkan oleh Mateo Kovacic.

Haaland kini mengumpul 27 gol dalam semua pertandingan musim ini sekali gus menepis kritikan yang dilemparkan terhadapnya selepas gagal menyudahkan deretan peluang ketika seri dengan Chelsea baru-baru ini.

Menyanjung peranan De Bruyne ketika membenam cabaran Luton, Haaland berkata: “Kevin terlalu bagus. Seronok bermain di sampingnya. Kami tahu apa yang kami mahukan antara satu sama lain.”

Mengenai prestasinya sendiri sejak kembali daripada kecederaan kaki yang menyaksikannya terpaksa berehat dua bulan, Haaland menambah: “Saya kembali ke tahap terbaik saya. Akhirnya saya berasa bagus.”

City menang 14 daripada 15 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan ketika mereka berusaha menyamai pencapaian treble musim lalu dengan memenangi EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Haaland dan De Bruyne mempamerkan persembahan memukau tepat pada masanya menjelang pertembungan genting EPL Ahad ini menentang Manchester United di Stadium Etihad.

Satu-satunya kekecewaan diharungi City adalah kecederaan dialami Jack Grealish pada babak pertama, tamparan terbaharu dalam musim yang mengecewakan buat pemain sayap England itu. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini