comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala FA: Everton, Forest mara ke pusingan keempat

Pemain Everton, Andre Gomes (tengah) meraikan jaringan ketika pusingan ketiga Piala FA menentang Crystal Palace di Goodison Park, Liverpool. – Foto REUTERS

LONDON: Everton dan Nottingham Forest mengetepikan ancaman pemotongan mata Liga Perdana Inggeris apabila masing-masing mara ke pusingan keempat Piala FA.

Everton mengatasi Crystal Palace 1-0, manakala Forest menewaskan kelab divisyen tiga, Blackpool 3-2 dalam masa tambahan.

Ia adalah tonik terbaik buat kedua-dua kelab, yang dirujuk kepada suruhanjaya bebas oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengaku melanggar peraturan kewangan.

Everton dan Forest didakwa melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian liga untuk musim 2022-23 dan berisiko dihukum dengan pemotongan mata.

Everton sudah dipotong 10 mata musim ini kerana kesalahan melepasi had kerugian dibenarkan pada musim 2021-22.

Kelab Merseyside itu sedang merayu hukuman berkenaan, pemotongan mata paling besar dalam sejarah EPL.

Anak-anak buah Sean Dyche akan berdepan Luton di Goodison Park pada pusingan keempat selepas Andre Gomes meledak gol kemenangan pada minit ke-42.

Forest kendalian Nuno Espirito Santo hampir dikejutkan Blackpool yang bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan dua gol.

Forest mendahului menerusi jaringan minit ke-16 Ryan Yates dan Danilo, kurang seminit selepas permainan bersambung di babak kedua.

Albie Morgan merapatkan jurang dengan rembatan padu pada minit ke-61 dan Kyle Joseph menyamakan kedudukan 12 minit sebelum tamat permainan.

Bagaimanapun penyerang New Zealand, Chris Wood meredakan tekanan Forest apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-110.

Forest akan bertandang ke laman Bristol City, yang mengejutkan West Ham di pusingan ketiga.

Turut mara, Norwich yang bertemu Liverpool selepas menewaskan Bristol Rovers 3-1. – AGENSI

Loading...
Terkini