MANCHESTER: Matheus Nunes menjaringkan gol pertamanya buat Manchester City dalam penampilan ke-34 membolehkan tuan rumah mencatat kemenangan 2-1 ke atas Watford untuk mara ke pusingan keempat Piala Liga, awal pagi tadi.
Jeremy Doku membuka tirai jaringan buat City seawal minit kelima dan Nunes melakukan penyudah klinikal pada minit ke-38 untuk meletakkan skuad bimbingan Pep Guardiola mengawal permainan di Stadium Etihad.
Watford mengalami beberapa kekalahan teruk di tangan City dalam beberapa musim lalu tetapi mereka enggan menyerah kalah dan Tom Ince menyalakan harapan pasukan itu apabila meledak gol cantik pada minit ke-86.
City yang sudah merangkul gelaran Piala ini sebanyak lapan kali berjaya mengelak daripada terpaksa melalui penentuan penalti walaupun menghadapi tekanan dari Watford di akhir perlawanan.
Anak buah Guardiola kembali beraksi selepas lebih 48 jam pertembungan dengan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan pengurus itu merehatkan beberapa pemain utama untuk memberi peluang kepada Kaden Braithwaite yang berusia 16 tahun.
Nunes agak bergelut untuk membuktikan kehadirannya di City selepas perpindahan bernilai 53 juta pound (RM295.48 juta) dari Wolverhampton Wanderers lebih setahun yang lalu, tetapi berjaya memanfaatkan peluang untuk menarik perhatian dalam permulaan pertamanya musim ini.
Dia meledak gol menerusi percubaan rendah dari luar kawasan penalti dan berpeluang untuk melakukan hatrik tetapi beberapa percubaannya selepas itu diselamatkan penjaga gol Watford, Jonathan Bond pada babak kedua.
“Dia mempunyai kualiti istimewa yang jarang dimiliki pemain lain.
“Saya gembira untuknya dan gol berkenaan. Namun, dia masih ada perkara yang perlu dipertingkatkan dan tidak mudah untuk dia menyesuaikan diri.” kata Guardiola. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.