comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA MALAYSIA 2022: Lebih 2,000 penyokong JDT gegar Dataran MBJB

FOTO : Ribuan penyokong berkumpul di Dataran Bandaraya Johor Bahru

JOHOR BAHRU : Lebih dua ribu penyokong JDT membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, antara JDT dan Selangor malam tadi.

Suasana gamat dan meriah dengan sorakan penyokong skuad Harimau Selatan seawal jam 6 petang lagi.

Kemenangan JDT melengkapi prestasi cemerlang dengan kejayaan “quadruple” bagi musim ini disaksikan menerusi layar gergasi di Dataran MBJB.

Bagi penyokong, Ermy Jeffry Jamil, 44 berkata, kejuaraan pasukan kesayangan mereka telah diramal berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan pasukan itu.

Dia yang gembira dengan kemenangan itu ternyata berpuas hati dan menyatakan rasa berbaloinya walaupun terpaksa berjalan jauh ke dataran MBJB.

Walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda, Jeffry tetap bersemangat ingin menyaksikan perlawanan akhir menentang Selangor.

“Syukur Alhamdulilallah, memang inilah yang menjadi kebanggaan kita semua sebagai orang Johor dan penyokong JDT.

“Sudah semestinya gembira yang sukar untuk dikongsikan,hilang penat saya walaupun meletakkan kenderaan jauh-jauh apabila dapat menyaksikan kemenangan JDT, tahniah untuk semua pemain dan jurulatih pasukan, gembira sangat,” katanya.

Sementara itu Anitah Abdul Hamid, 55 dari Taman Nusa Bistari yang hadir bersama keluarga berkata, beliau memang mengharapkan JDT membawa pulang Piala Malaysia ke Selatan tanah air.

Katanya, meskipun tidak berpeluang menyaksikan perlawanan di Kuala Lumpur, beliau tetap gembira dengan kejayaan yang dilakarkan.

Dia dan keluarga memilih untuk menonton melalui skrin gergasi di dataran MBJB berbanding di rumah kerana suasana dan semangat bangsa Johor yang lebih kuat.

“Seronok sangat walaupun kami tidak dapat ke stadium di KL di sini pun tidak kurang meriah sama seperti di stadium.

“Apa yang lebih penting semangat bangsa Johor ingin melihat sendiri perlawanan pada malam ini dan lebih bermakna apabila pasukan kita (JDT) menjadi juara.

“Saya memang setiap kali ada game JDT inilah tempat saya, saya pasti akan ke Dataran MBJB bersama dua lagi anak perempuan saya,” katanya.

Intan Suriani Md Yusof ,31 yang datang bersama keluarganya teruja meraikan kemenangan JDT dan menyifatkan usaha menempuh kesesakan trafik untuk bersama penyokong JDT yang lain di Dataran MBJB sebagai sesuatu yang berbaloi.

“Saya dan suami datang dari Mutiara Rini dan sampai sini pukul 6 lagi, semuanya kerana nak melihat perlawanan pasukan kesayangan kami lawan.

“Syukur sangat walaupun kami keluar awal dan terpaksa menunggu lama tetapi kami sangat gembira dan berpuas hati.

“Penat memang penat tetapi bila JDT menang hilang penat, tahniah JDT,” katanya.

Loading...
Terkini