comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA MALAYSIA: JDT tekad mahu tebus kekecewaan perlawanan akhir musim lalu

Bergson Da Silva. Foto: MFL

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim ( JDT) mengintai peluang untuk menebus kekecewaan pada final Piala Malaysia musim lalu apabila mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas mengatasi Sabah FC menerusi agregat 4-1.

Menang 1-0 pada pertemuan pertama di Stadium Likas, kelebihan beraksi di laman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim dimanfaat sebaiknya JDT, gah merakam kemenangan 3-1 ke atas Sabah.

Bermakna, JDT kini sah mara ke pentas akhir, dijadualkan berdepan pemenang antara Selangor FC dan Terengganu Fc yang hanya akan beraksi sehari berselang.

Bagi penyerang, Bergson Da Silva, JDT memang mengimpikan untuk merangkul satu lagi kejuaraan musim ini selepas Piala FA dan Liga Super.

“Pertarungan yang cukup baik menentang pasukan seperti Sabah, perlawanan sebelum ini juga berlangsung sengit tetapi kami datang dengan persediaan lebih rapi, kami berjaya lakukannya, kini kami akan ke perlawanan akhir, sudah tentu fokus kami terarah kepada perlawanan itu.

“Ini satu lagi sebab kerana kami sudah pun tewas pada perlawanan akhir musim lalu, kami tidak mahu kalah lagi, kami mahu menang, kami bekerja keras untuk menang, kami sudah bersedia untuk beraksi dan berikan segalanya.

“Kami tak kisah bertemu sama ada Selangor atau Terengganu, kami bersedia untuk memberikan yang terbaik,” kata Bergson selepas perlawanan.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, JDT bermula baik dengan Bergson membuka jaringan pada minit ke 35 sebelum Fernando Forestieri menggandakan kedudukan empat minit sebelum rehat.

Sabah merapatkan kedudukan selepas itu menerusi penyudah Taiki Kagayama, namun, Syafiq Ahmad menutup aksi dengan melengkapkan keputusan 3-1 di penghujung perlawanan untuk JDT mara ke pentas final dengan agregat 4-1.

Pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021, JDT terpaksa akur tewas 0-2 kepada pasukan kendalian Bojan Hodak, Kuala Lumpur City FC.

Loading...
Terkini