comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA MALAYSIA: Nafuzi kekal professional, mahu bawa Terengganu FC ke pentas final

Foto: Terengganu FC/Facebook

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

KUALA TERENGGANU: Disebalik kontroversi yang melanda, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain tetap kekal professional, mahu membawa TFC ke pentas final Piala Malaysia.

Berdasarkan barisan pemain yang dimilikinya, memang ia sasaran realistik, cuma lawan yang menanti tetap dilabel antara yang mencabar iaitu pasukan Selangor FC.

Menurut Nafuzi, kemasukan Tan Cheng Hoe selaku pengendali baharu ‘Red Giants’ jelas merubah rentak permainan Selangor FC sepenuhnya.

“Perlawanan yang sukar, mencabar untuk kita lalui dan kita tahu dengan sejarah Selangor di Piala Malaysia ini kita tahu macam mana dan juga keadaan pasukan sekarang kita tengok bertambah baik selepas Tan Cheng Hoe mengambil alih, tanpa kalah, dan hanya bolos dengan Negeri Sembilan di suku akhir, saya rasa kita perlu bersedia fokuslah kerana kita rasa hanya selangkah lagi untuk ke final dan itu yang kita sasarkan.

“Banyak perubahan yang saya nampaklah dari segi corak permainan Selangor kita nampak lagi tersusun, gerakan-gerakan sebab kita tahu Tan Cheng Hoe ni jenis yang suka bermain dengan bola, dia pun menggunakan pemain sayap yang laju di bahagian tepi, majoriti pemain Selangor berkualiti bagi saya,” kata Nafuzi.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan, TFC pastinya boleh mendabik dada, berjaya memenangi tiga aksi berdepan Selanhor musim ini.

Menang 2-0 di Kuala Terengganu sebelum mencatat keputusan sama di Kelana Jaya, kebangkitan Selangor mula dikesan Nafuzi ketika pertemuan peringkat separuh akhir Piala FA.

Selangor berjaya mengikat Terengganu dengan keputusan seri 1-1 ketika itu, namun kelegaan memihak skuad kendalian Nafuzi yang berjaya memenanhi penentuan sepakan penalti.

Selepas gagal untuk menjulang Piala FA, tewas 1-3 di pentas final kepada Johor Darul Ta’zim, pastinya sasarannpasukan sekali lagi mahu ke perlawanan akhir.

“Pasukan sendiri, pemain sendiri, begitu bersungguh untuk ke final Piala Malaysia kerana rasa tahun ini adalah tahun terbaik Terengganu untuk meraih sesuatu kejayaan,” tambah Nafuzi.

Terengganu memulakan kempen Piala Malaysia berdepan Sri Pahang FC dan dominasi berjaya ditampilkan TFC yang mara ke suku akhir menerusi agregat 9-3.

Berdepan juara bertahan, Kuala Lumpur City FC di peringkat seterusnya, kerja keras terpaksa dilakukan TFC, lega memenangi aksi pertama dengan keputusan 1-0 sebelum tampil lebih berbisa pada pertemuan kedua, mengatasi KL City dengan kemenangan 3-1, sekaligus meneruskan kemaraan ke separuh akhir dengan agregat 4-1.

Aksi separuh akhir pertama Terengganu dan Selangor akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam esok sebelum kedua-dua pasukan kembali bertemu untuk baki 90 minit kedua Isnin depan.

Loading...
Terkini