comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Malaysia 2022: Tiada Aksi Peringkat Kumpulan

Skuad KL City menjuarai Piala Malaysia tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Perubahan format Piala Malaysia bagi musim ini menyaksikan tiada aksi peringkat kumpulan di mana semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan.

Perkembangan itu diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menjelaskan keputusan itu diambil selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya kepadatan kalendar semasa dan impak kepada Piala Malaysia dengan ramalan cuaca yang membimbangkan menjelang akhir tahun yang tidak akan memberi MFL sebarang ruang untuk penangguhan sekiranya diperlukan.

Justeru, ketiadaan perlawanan di peringkat kumpulan dapat memberikan ruang dan masa kepada pasukan dan juga MFL yang sekali gus mengimbangi kualiti salah satu kejohanan paling tertua di Asia itu serta memastikan pencegahan kecederaan pemain.

“Pada 29 September 2022, MFL mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia di mana memaklumkan bahawa akan berlaku hujan lebat pada bulan Oktober sehingga Disember 2022.

“Tambahan pula, kerajaan mengeluarkan peringatan bahawa akan berlaku fenomena air pasang besar yang akan menyebabkan berlakunya banjir di hampir seluruh negeri di Malaysia pada bulan-bulan yang akan datang.

“Jadual Liga Malaysia 2022 amat padat akibat penundaan beberapa perlawanan yang tidak dapat dielakkan pada awal musim 2022 disebabkan penularan COVID-19 dalam beberapa pasukan dan juga kejohanan penting pasukan pasukan kebangsaan.

“Sehubungan itu, format Piala Malaysia 2022 akan dimainkan bermula daripada pusingan 16 pasukan secara timbal balik sekali gus tiada perlawanan peringkat kumpulan pada tahun ini,” kata MFL dalam satu kenyataan, hari ini.

Musim ini, saingan Piala Malaysia menampilkan perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik diadakan secara timbal balik disusuli aksi suku akhir (timbal balik) dan perlawanan separuh akhir (timbal balik) di mana aksi final Piala Malaysia bakal berlangsung di venue neutral pada 26 November. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini