Tumpuan :
Sukan

Piala Remaja Asia: India benam Young Tigress 5-0

Skuad hoki remaja wanita negara tewas 5-0 di tangan juara bertahan, India dalam kempen Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman. – FOTO: KHM

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja wanita negara tewas 5-0 di tangan juara bertahan, India dalam kempen Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan kedua Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Hoki Oman itu, India yang turun sebagai pasukan pilihan jelas berada di kelas tersendiri apabila dikuatkan dengan lima pemain senior termasuk Vaishnavi Vitthal Phalke dan Deepika.

Deepika menyumbat tiga gol dengan dua daripadanya menerusi pukulan sudut penalti untuk membenam skuad kendalian Lailin Abu Hassan.

Young Tigress begitupun memulakan perlawanan dengan baik apabila berjaya mengekang asakan pasukan di ranking enam dunia itu untuk kekal tanpa jaringan sehingga babak pertama berakhir.

Memasuki babak kedua, gawang negara yang dikawal Nur Hazlinda Zainal Abidin bocor selepas India memperoleh pukulan sudut penalti yang disempurnakan Phalke.

India tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua apabila Deepika melengkapkan pukulan sudut penalti lima minit berselang sebelum Siwach Kanika menyumbat gol ketiga seminit kemudian menerusi jaringan padang.

Kerapuhan gawang skuad negara terus dihukum apabila India yang dikendali Tushar Khandker meledak gol keempat selepas memperoleh pukulan penalti yang disempurkan Deepika.

Gol kelima India sekali lagi disumbangkan Deepika menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-48.

Skuad hoki remaja wanita negara yang menghuni rangking ke-17 dunia selepas ini dijadual menentang Bangladesh, yang tewas 13-1 di tangan India pada perlawanan pertama, awal pagi esok sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan melawan China pada hari berikutnya.

Sebagai rekod, Young Tigress diletakkan sasaran oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk menamatkan kempen di Oman dalam kedudukan empat terbaik yang turut memberikan tiket ke Piala Remaja Dunia tahun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini