Tumpuan :
Sukan

Piala Skuasy ACE Malaysia: Sivasangari singkir Aifa di suku akhir

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain pilihan, S Sivasangari tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Skuasy ACE Malaysia 2024 apabila mudah menundukkan rakan senegara, Aifa Azman 11-9, 11-3, 11-6, hari ini.

Beraksi di kejohanan yang berlangsung di pusat membeli belah terkemuka negara, Sivasangari mengakui dia merasa sedikit gugup apabila turun ke gelanggang sebagai pilihan utama.

“Memang ada tekanan apabila bermain dengan rakan sepasukan dan sudah tentu ada tanggungjawab untuk membuktikan bahawa saya masih nombor satu negara.
“Dia (Aifa) seorang pemain yang hebat namun kita semua tahu ada lagi beberapa pemain bagus di kejohanan ini namun saya gembira dapat menang 3-0 hari ini,” katanya.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat itu mudah menguasai perlawanan terutama di bahagian tengah dengan Aifa sukar untuk mengikuti rentak permainan agresif Sivasangari.

Kemenangan itu menyaksikan Sivasangari melebarkan rekod kemenangan bersih apabila menang keempat-empat pertemuan mengatasi Aifa sebelum ini.

Menanti Sivasangari di separuh akhir adalah pilihan keempat dari Scotland, Georgia Adderley yang mara selepas menundukkan wakil negara, Aira Azman 11-4, 11-7, 11-13, 11-7.

Mengulas mengenai pertemuan menentang Adderley yang ditemuinya minggu lalu di suku akhir Terbuka China yang mana kemenangan memihak kepada wakil negara itu, Sivasangari berkata, dia tetap mengambil serius pertemuan itu.

“Walaupun menang mengatasi dia (Adderley) tapi ia satu perlawanan yang berakhir dengan empat set. Dia seorang yang sangat sukar dan boleh bergerak ke setiap penjuru gelanggang.

“Esok pastinya akan menjadi cabaran berbeza, jadi saya jangka akan ada permainan rali yang panjang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini