comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA SUDIRMAN: Malaysia disekat Korea Selatan, capai sasaran bawa pulang gangsa

Malaysia mengakhiri kempen Piala Sudirman 2023 dengan membawa pulang pingat gangsa selepas tewas 1-3 kepada Korea Selatan, sebentar tadi.

Pencapaian di Suzhou, China itu secara tidak langsung mengulangi prestasi edisi Guangzhou pada 2009 dan Vantaa pada 2021.

Skuad negara meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir malam tadi, membuka saingan hari ini dengan langkah kiri apabila beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas 21-11, 13-21, 7-21.

Beregu campuran kebangsaan itu beberapa kali mempamerkan pertahanan menarik, namun masih belum cukup ampuh untuk mengatasi Seo Seung Jae-Chae Yu Jung.

Perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, tampil dalam aksi kedua, meneuskan momentum terbaiknya kembali mengikat kedudukan 1-1 menerusi kemenangan ke atas Jeon Hyeok Jin 21-11, 21-9.

Dan tiada keajaiban dijelmakan K Letshanaa yang berdepan pemain nombor dua dunia, An Se Young, menang 21-10, 21-13 untuk kembali meletakkan Korea Selatan 2-1 di depan.

Peluang Malaysia ditutup sebelum beregu wanita, M Thinaah-Peartly Tan, turun ke gelanggang biarpun kali ini juara dunia 2023, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menjadi sandaran untuk menyamakan kedudukan.

Bagainanapun, Aaron-Wooi Yik tidak mampu mengimbangi arus asakan yang dijelmakan Kim Win Ho- Na Sung Seung, khususnya di depan jaring hingga memerangkap mereka 12-12, 11-21.

Korea Selatan mara ke peringkat akhir Piala Sudirman selepas kali terakhir pencapaian itu dilakukan pada edisi 2017 di Australia.

Mereka bakal berdepan sama ada China atau Jepun yang akan membuat perhitungan pada petang ini.

Loading...
Terkini