Tumpuan :
Sukan

Piala Supermokh 2024: JDT Academy muncul juara bawah 14 tahun

Johor Darul Ta’zim (JDT) Academy muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 kategori bawah 14 tahun selepas menumbangkan juara bertahan Buriram United (UTD) 2-1, hari ini.

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) Academy muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 selepas menumbangkan juara bertahan Buriram United (UTD) 2-1 pada perlawanan akhir kategori bawah 14 tahun (B-14) hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, kapten pasukan Muhammad Fareez Danial Fadzly muncul wira pasukan tuan rumah apabila meledakkan kedua-dua gol kemenangan JDT Academy masing-masing pada minit ke-19 dan 57.

Pasukan pelawat bagaimanapun memperoleh gol sagu hati hasil jaringan Taratap Ridking pada minit ke-70.

Ketua Jurulatih JDT Academy Rodolfo Villa mengakui kesungguhan dan dedikasi anak buahnya menjadi faktor utama kejayaan pasukan bimbingannya menumbangkan juara bertahan itu.

“Ya, ini adalah perlawanan yang sangat kompetitif, tetapi kami mempunyai pasukan yang sangat baik dengan bermain mengikut perancangan kami dalam setiap perlawanan.

“Pemain-pemain saya sangat fokus dan bersedia memberikan saingan dan akhirnya mereka mendapat keputusan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini.

Tempat ketiga menjadi milik Akademi Mokhtar Dahari (AMD) U14 Dream, yang menumpaskan Reliance Foundation (RF) Young Champs 2-1 pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kategori B-13 pula menyaksikan Zhejiang PFC dari China mengungguli aksi final selepas menumbangkan pasukan tuan rumah AMD U13 Future 1-0 pada aksi final.

Pasukan AMD Dream dan Avispa Fukuoka dari Jepun masing-masing berkongsi kedudukan ketiga selepas aksi penentuan ketiga dan keempat dibatalkan.

Sementara itu, pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A mempertahankan kejuaraan bagi kategori B-12 tahun selepas mengecewakan Pattaya United 1-0 dalam satu lagi aksi final.

Tempat ketiga menjadi milik JDT Academy selepas menewaskan NFDP B 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini