comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Thomas: Peluang Malaysia, Jepun seimbang – Rexy

Lee Zii Jia diberi tugas memburu mata pertama negara menentang Jepun apabila dijangka turun berdepan Kodai Naraoka di Chengdu petang ini. -FOTO: BAM

KUALA LUMPUR: Berdasarkan rekod pertemuan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam Februari lalu, Malaysia berjaya menewaskan Jepun 3-1 pada separuh akhir.

Sekaligus kemenangan itu pastinya memberi skuad negara kelebihan psikologi menjelang pertemuan menentang Negara Matahari Terbit itu pada aksi suku akhir Piala Thomas di Chengdu, China, petang ini.

Pada edisi Piala Thomas 2022 di Bangkok, skuad negara turut menewaskan Jepun 3-2 ketika saingan peringkat kumpulan untuk melangkah ke suku akhir selaku juara kumpulan.

Kali ini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky menyifatkan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan berdasarkan kekuatan dimiliki barisan pemain masing-masing.

“Kalau tengok perseorangan kedua dan ketiga Jepun, kita boleh cakap yang pemain kita masih boleh beri tentangan kepada mereka.

“Bagi acara beregu pula, saya lihat peluang adalah 50-50.

“Jadi, apa yang paling utama dalam perlawanan pusingan kalah mati seperti ini adalah kita perlu kuat dari segi fokus, komitmen dan psikologi.

Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik dijangka menentang beregu nombor enam dunia Yugo Kobayashi-Takuro Hoki petang ini. – FOTO: BAM

“Kalau kita berbicara strategi atau teknik, masing-masing sudah tahu. Jadi kita harus fokus untuk kuatkan psikologi dan cara pemain berfikir,” kata Rexy.

Pada perlawanan petang ini, Malaysia dijangka menurunkan Zii Jia selaku perseorangan pertama dan diramal bertemu naib juara dunia 2023, Kodai Naraoka.

Leong Jun Hao hampir pasti menggalas tugas selaku perseorangan kedua bertemu Kenta Nishimoto manakala Justin Hoh sekali lagi dijangka diberi tanggungjawab selaku perseorangan ketiga dan diramal menentang Kento Momota.

Bagi acara beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka menggalas tugas selaku beregu pertama menentang pasangan nombor enam dunia, Yugo Kobayashi-Takuro Hoki sementara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei bertemu Akira Koga-Taichi Saito.

Sekiranya berjaya mengatasi Jepun petang ini, Malaysia akan berdepan pemenang perlawanan satu lagi aksi suku akhir antara China dengan India bagi perebutan tiket ke pentas final.

Perlawanan suku akhir lain menyaksikan Korea Selatan bertemu Indonesia manakala Taiwan menentang Denmark.

BARISAN KEMUNGKINAN

Lee Zii Jia mln Kodai Naraoka

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mln Yugo Kobayashi-Takuro Hoki

Leong Jun Hao mln Kenta Nishimoto

Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mln Akira Koga-Taichi Saito

Justin Hoh mln Kento Momota

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini