comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Thomas: Taiwan singkir Denmark

Kemenangan Chou Tien Chen ke atas pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen 21-19 14-21 21-19 mendorong kejayaan Taiwan menundukkan Denmark 3-1. – FOTO: BWF

PETALING JAYA: Taiwan mencipta kejutan mara ke separuh akhir Piala Thomas selepas menewaskan Denmark 3-1  di Chengdu, China sebentar tadi.

Kemenangan perseorangan pertama Chou Tien Chen ke atas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen nyata menjadi titik tolak kejayaan Taiwan.

Tien Chen pemain nombor ke-14 dunia itu menang 21-19, 14-21, 21-19 pada perlawanan yang memakan masa 68 minit.

Taiwan seperti diduga meraih mata kedua apabila pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020, Lee Yang – Wang Chi Lin cuma memerlukan 37 minit mengalahkan Kim Astrup-Anders Rasmussen 21-14, 21-15.

Belum mahu mengalah, Denmark merapatkan kedudukan 1-2 hasil kemenangan perseorangan kedua, Anders Antonsen yang mengalahkan Lin Chun Yi.

Antonsen bangkit daripada kekalahan 14-21 pada set pertama untuk menguasai dua set berikutnya 21-10, 21-14 dalam perlawanan sengit yang berlarutan 72 minit itu.

Namun hasrat Denmark mengheret perlawanan ke ‘game’ ke lima tidak kesampaian.

Kegoyahan beregu juara edisi 2016 itu terserlah lagi apabila gandingan Rasmus Kjaer – Frederik Sogaard kalah kepada pasangan Lee Jhe Huei – Yang Po Hsuan 21-23, 18-21.

Pada separuh akhir esok Taiwan akan menentang Indonesia yang juga mengalahkan Korea 3-1 pada satu lagi aksi suku akhir hari ini.

Manakala Malaysia berdepan China.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini