
ANFIELD, ENGLAND: Luis Diaz akan membuat keputusannya sendiri sama ada mahu bermain atau tidak pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Luton esok, ujar pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.
Ini berikutan perkembangan terbaharu berhubung kes membabitkan bapa Diaz, Luis Manuel yang diculik bersama ibunya minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Luis Fernando Velasco memberitahu wartawan, wakil kumpulan gerila National Liberation Army (ELN) yang sedang berunding dengan kerajaan Colombia berkata, bapa pemain itu akan dibebaskan.
Ibu Diaz, Cilenis Marulanda, diselamatkan hanya beberapa jam selepas pasangan itu diculik di Barrancas, berhampiran sempadan Venezuela.
Liverpool yang kini berada di tangga keempat liga, tiga mata di belakang pendahulu, Tottenham, dilihat tidak bermasalah untuk mengatasi Luton yang bergelut di zon penyingkiran.
Dengan bahagian serangan yang meyakinkan, Mohamed Salah yang meledak lapan gol liga dan empat bantuan gol setakat ini, dijangka akan memulakan perlawanan di samping Darwin Nunez dan Diogo Jota.
Di bahagian tengah, Dominik Szoboszlai dan Alexis Mac Allister juga akan membarisi kesebelasan utama dengan Curtis Jones, Ryan Gravenberch, Wataru Endo atau Harvey Elliot menjadi pilihan untuk melengkapkan barisan tengah.
Kostas Tsimikas akan terus mengisi kekosongan ditinggalkan Andy Robertson yang cedera di posisi bek kiri, dengan Virgil van Dijk, Ibrahima Konate dan Trent Alexander-Arnold melengkapkan benteng Liverpool.
Pertahanan The Reds antara yang paling mantap musim ini, dibolosi hanya sembilan kali dalam aksi liga.
Hanya Arsenal dan Manchester City mempunyai rekod lebih baik, dengan lapan dan tujuh gol membolosi gawang mereka. -AGENSI