comscore
Tumpuan :
Sukan

Pingat emas bakar semangat Ahmad Shahmim untuk wakili negara

Ahmad Shahmim menghadiahkan pingat emas sulung kepada kontinjen Kelantan. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Ahmad Shahmim Mohd Kadri berpotensi menjadi permata baharu atlet para negara selepas melakar kejayaan berganda di Sukan Para SUKMA 2022 hari ini.

Beraksi dalam acara powerlifting atas 49 kilogram (kg) lelaki di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, angkatan 104 kg yang dilakukan menobatkannya sebagai pemenang pingat emas.

Bukan itu sahaja ia juga memecahkan rekod temasya dan kebangsaan iaitu 97kg milik Syed Omar Syed Hashim dari Kuala Lumpur semasa edisi 2018 di Perak.

“Catatan angkatan terbaik peribadi saya dibawah 100kg. Kalau 100kg itu pun sebenarnya susah nak angkat tetapi saya gembira kerana hari ini dapat melakukan 104 kg dan ia emas pertama saya dalam mana-mana saingan yang disertai sebelum ini,” luah Ahmad Shahmim.

Kemenangan itu memperbaharui pencapaiannya yang membawa pulang pingat gangsa di Sukan Para Sukma Perak 2018.

Bakal menginjak usia 20 tahun bulan depan, atlet kelahiran Kelantan itu semakin bersemangat untuk mewakili negara ke Sukan Para ASEAN di Kemboja 2023.

Mengiringi Ahmad Shahmin di podium ialah Francis Xaver Kinjin dari Sabah serta Noor Nasri Md Saad yang berkongsi pingat perak selepas mencatat angkatan sama seberat 65kg.

Loading...
Terkini