KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju untuk mengekalkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam Program Podium tahun depan.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PKBM, Arif Astaman dengan menyatakan Azizulhasni tidak akan melepaskan tanggungjawabnya terhadap skuad kebangsaan walaupun fokus utamanya adalah menamatkan pengajian di Melbourne, Australia.
Arif berkata, seandainya Azizulhasni bersetuju untuk kekal dalam Program Podium, pelumba berusia 36 tahun itu akan diberikan sasaran untuk melayakkan diri ke Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Santiago, Chile pada Oktober 2025.
“Kita juga perlu akur bahawa dengan umur dan fokus beliau terhadap pelajaran, kita akan cuba untuk membantu beliau sebanyak yang mungkin tetapi mungkin dalam kerangka yang lain.
“Dan jika bersetuju, beliau akan diberikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) seperti atlet lain yang berada dalam program podium,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) PKBM bersama MSN, hari ini.
Azizulhasni sebelum ini mengesahkan dirinya tidak akan mengambil bahagian pada Kejohanan Basikal Trek Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, Februari tahun depan dan PKBM menghormati perkara itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.