![](https://media.buletintv3.my/2024/12/WhatsApp-Image-2024-12-06-at-6.31.21-PM.jpeg)
KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersama Persekutuan Berbasikal Saudi (SACF) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha meningkatkan kualiti sukan berbasikal kedua-dua negara.
Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh menerusi kenyataan memaklumkan MoU itu yang ditandatangani bersama Presiden SACF Abdullah Ali Al-Wathlan menerusi aplikasi Zoom semalam, bagi meningkatkan prestasi pelumba menerusi kaedah tersusun dan saintifik.
“Arab Saudi dipilih sebagai rakan kerjasama kerana Presiden SACF Abdullah Ali memiliki visi hebat memajukan sukan berbasikal di rantau Asia. MoU tersebut berteraskan sembilan agenda penting termasuk saling bertukar pengalaman dan maklumat dalam tempoh terdekat.
“Paling penting ialah Arab Saudi akan diberi peluang menyertai mana-mana pertandingan dan kejohanan kebangsaan di Malaysia. Ada kemungkinan juga pelumba Arab Saudi boleh sertai Le Tour de Langkawi,” katanya.
Beliau berkata, skuad lebuh raya negara pula berpeluang menyertai AlUla Tour anjuran Pertubuhan Sukan Amaury (ASO) yang juga penganjur Tour de France.
Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) berkata Malaysia akan turut memberi peluang kepada SACF mengadakan kem latihan serta menghantar pelumbanya berlatih di Velodrom Nasional Malaysia di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
“Fasa seterusnya ialah PKBM akan membantu SACF bagaimana untuk meningkatkan kualiti komisar kebangsaan di Arab Saudi, selain memberi tunjuk ajar kepakaran bagaimana menganjurkan kejohanan besar kepada mereka.
“Malaysia sememangnya dikenali sebagai antara penganjur ACC (Kejohanan Lumba Basikal Asia) yang sangat efisien dan jarang menimbulkan masalah kepada negara peserta. Pada masa yang sama, MoU ini juga akan menyaksikan pertukaran jurulatih khususnya disiplin trek,” katanya.
Beliau juga berkata MoU tersebut tidak akan memberi ikatan atau implikasi kewangan kepada PKBM atau SACF.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.