KUALA LUMPUR: “Tahniah! Pencapaian saudara luar biasa!”. Ungkapan cukup ringkas tetapi menggambarkan rasa kagum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan tahniah beliau kepada atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang menghadiahkan Malaysia pingat emas kedua di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Perdana Menteri berkata, lebih membanggakan Bonnie turut berjaya memecahkan rekod dunia.
“Kita beroleh pingat emas kedua di #Paralympic2024 dan lebih membanggakan, saudara Bonnie Bunyau berjaya memecahkan rekod dunia,” katanya melalui media sosial.
Bonnie menepati ramalan untuk menghadiahkan Malaysia pingat emas kedua di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan mengungguli aksi di Porte de La Chapelle Arena, sebentar tadi.
Beraksi dalam kategori 72 kilogram (kg) lelaki, Bonnie memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232kg yang dilakukannya pada cubaan ketiga.
Isnin lalu, Malaysia meraih pingat emas pertama di Paralimpik Paris 2024 menerusi jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).
Menariknya, kejayaan Liek Hou turut berlangsung di gelanggang sama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.