comscore
Tumpuan :
Sukan

Pochettino hantar Felix pulang

Khidmat Joao Felix tidak lagi diperlukan pengurus baharu Chelsea, Mauricio Pochettino. -FOTO: REUTERS

LONDON: Chelsea tidak akan menandatangani pemain pinjaman, Joao Felix secara tetap pada musim panas ini di sebalik keinginan pemain itu untuk kekal.

Penyerang Atletico Madrid itu menyertai kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan secara pinjaman pada Januari lalu dan beraksi sebanyak 20 perlawanan dalam semua kejohanan, menjaringkan empat gol dan tidak merekodkan sebarang umpanan.

Pengurus baharu Chelsea, Mauricio Pochettino sudah membuat keputusan yang dia tidak mahu melengkapkan perpindahan bernilai 15 juta pound (RM85.67 juta) untuk bintang Portugal itu.

Dalam langkah pertama yang dianggap ‘kejam’, pengurus dari Argentina itu menyingkirkan pemain yang ditandatangani Atletico dengan harga 114 juta pound (RM651 juta) – perpindahan keempat termahal sepanjang zaman – pada 2019.

Presiden Atletico Enrique Cerezo mengesahkan The Blues tidak akan mengambil peluang untuk menandatangani Felix dan memberitahu dia akan kembali ke Sepanyol.

Cerezo memberitahu media Sepanyol AS: “Semalam kami mendapat berita bahawa pengurus baharu Chelsea (Pochettino) tidak (mahu) Joao Felix.

“Kami baru tahu kurang dari 24 jam. Dia akan kembali ke sini dan kita akan lihat, kami tidak mempunyai sebarang perancangan lagi,” katanya.

Berita itu pastinya tamparan hebat buat pemain berbakat berusia 23 tahun itu yang secara terbuka menyuarakan keinginannya untuk kekal menyarung jersi Chelsea.

“Saya belum tahu masa depan saya. Tetapi empat, lima bulan ini, saya menyukainya.

“Ia adalah kelab terbaik, semua orang dalam kelab itu sangat baik kepada saya. Rakan sepasukan saya menakjubkan. Saya suka berada di sini,” katanya.

Loading...
Terkini