Tumpuan :
Sukan

Post mortem Sukan Olimpik, Paralimpik 2024 dedah nisbah pakar psikologi untuk atlet tidak ideal

KUALA LUMPUR: Keperluan kepakaran psikologi menjadi antara dapatan utama sesi post mortem Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) bersama kesemua persatuan sukan yang bertanding di temasya itu, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam sidang media selepas sesi itu mengakui, negara ketika ini tidak mempunyai nisbah kepakaran membabitkan psikologi yang ideal untuk barisan atlet negara bagi menghadapi temasya khususnya sebesar Olimpik.

Ketika ini, Malaysia menerusi Institut Sukan Negara (ISN) hanya mempunyai tujuh pakar psikologi yang perlu menguruskan atlet termasuk untuk program Podium dan Pelapis.

Sekalipun tidak dapat mendedahkan jumlah pakar yang diperlukan, Hannah berkata, dua pakar psikologi diperlukan bagi setiap 10 atlet dengan mereka akan turut bertindak sebagai jurulatih mental.

“Dalam beberapa bulan akan datang, kita akan berusaha mendapatkan kepakaran tempatan melalui universiti awam seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Mereka akan membantu memberi cadangan bagi mengatasi kekurangan ini.

“Kami mahu semua atlet mempunyai akses penuh kepada kepakaran ini supaya persiapan mereka seimbang dari segi fizikal dan mental. Bagaimanapun, perancangan ini memerlukan bajet yang mencukupi serta pelaksanaan yang teliti,” katanya.

Sementara itu, Hannah turut memaklumkan yang isu kegagalan kontinjen Olimpik negara membawa pulang pingat emas di Paris tidak menjadi agenda utama dalam sesi itu.

“Sukan berbasikal dan badminton sudah tampil memberikan penjelasan. Walaupun gagal membawa pulang emas, kami melihat semangat juang atlet seperti Datuk Azizulhasni Awang yang memecahkan rekod kebangsaan dan nasib juga tidak menyebelahi beliau, jadi ia bukan disebabkan prestasi.

“Dalam sukan badminton pula, sekalipun tidak meraih emas, pemain seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Pearly-Thinaah juga menunjukkan kekuatan mental tinggi dan kedua-duanya sudah memohon maaf atas kegagalan itu,” ujarnya.

Selain kapakaran dari sudut kepakaran psikologi, beberapa lagi perkara turut dibangkitkan dalam sesi berkenaan antaranya keperluan jurulatih, pengurusan kecederaan, peruntukan, disiplin, serta program pembangunan atlet yang lebih berstruktur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini