CHONBURY, THAILAND: Sesi latihan skuad Harimau Malaya B-23 kendalian E. Elavarasan di Stadium Banbueng, Chonburi, malam ini turut disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Beliau bersama-sama Timbalan Presiden, Dato’ S. Sivasundaram dan penolong pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar tiba dari Chengdu, China, pagi tadi selepas memberikan sokongan buat skuad Harimau Malaya yang berjaya mengikat China 1-1 pada perlawanan Antarabangsa Tier 1.
Kehadiran Datuk Hamidin di Chonburi pastinya akan memberikan semangat dan tonik tambahan kepada skuad Harimau Malaya B-23 yang bakal berdepan tuan rumah, Thailand pada aksi terakhir Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-23 2024, selasa ini.
Selepas dua perlawanan, Malaysia dan Thailand terikat 6 mata, namun Thailand di tangga teratas berdasarkan kelebihan jaringan.
Perlawanan terdahulu, Malaysia mengalahkan Bangladesh 2-0 dan Filipina 4-0, manakala Thailand menewaskan Filipina 4-0 dan Bangladesh 5-0.
Hanya juara kumpulan bersama empat naib juara terbaik dan tuan rumah layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar.