comscore
Tumpuan :
Sukan

PRU-15 Tidak Jejas Penganjuran Para SUKMA

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (tengah) bergambar bersama kontinjen paralimpik selepas Majlis Penyampaian Amanat dan Taklimat Temasya Sukan Asia Virtus Oceania, Brisbane 2022 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik hari ini. – Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Biarpun ‘bertembung’ dengan hari penting Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), penganjuran Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2022 tetap berlangsung dari 1 hingga 6 November ini.

Edisi penganjuran kali ini menyaksikan hari kedua terakhir temasya jatuh pada tarikh penamaan calon pada 5 November, namun Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin kekal yakin, kelangsungan program temasya tidak akan terganggu.

“Perancangan dibuat KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Majlis Sukan Negara (MSN), semuanya berada di atas laluan yang tepat walaupun temasya bertembung dengan hari penamaan calon pada 5 November.

“Itu semua tidak akan mengganggu program dan apa yang dirancang KBS dan jawatankuasa tertinggi, kita akan terus bergerak ke hadapan,” kata Megat dalam sidang media selepas majlis bersempena temasya Sukan Asia Virtus Oceania yang bakal disertai Malaysia dari 5 hingga 11 November ini.

Beliau berkata, penganjuran Para SUKMA kali ini sangat penting dalam meneroka bakat baharu selain menyediakan platform untuk atlet selepas kali terakhir dianjurkan pada edisi 2018 di Perak.

Megat dalam itu menjelaskan Sukan Asia Virtus Oceania ini bakal disertai 11 atlet dan lapan pegawai yang menyertai tiga daripada 14 sukan dipertandingkan iaitu para olahraga, para renang dan para ping pong.

Katanya, temasya ini juga adalah pentas untuk atler negara melayakkan diri ke peringkat dunia iaitu Sukan Global Virtus di Vichy, Perancis pada tahun depan.

“Tidak ada sasaran kerana saya merasakan penyertaan mempunyai isu sama seperti di Solo (Para ASEAN) kerana pandemik COVID-19 serta pelbagai isu lain. Kita akan menggunakan pendekatan sama, kerana kita tidak mempunyai pengukur pencapaian pihak lawan.

“Apa yang boleh, kita mahu mereka dapat membuat pencapaian peribadi terbaik mereka dan membawa pulang pingat. Apabila selepas ini kita tahu pencapaian peribadi terbaik, maka baharu kita dapat lihat prestasi lawan di luar sana di masa akan datang,” kata Megat.

Untuk rekod, Sukan Global Virtus adalah salah satu pertandingan yang dianjurkan khas untuk golongan atlet yang diklasifikasikan sebagai Orang Kelainan Upaya Intelektual.

Loading...
Terkini