comscore
Tumpuan :
Sukan

PSG heret kes tuntutan Mbappe ke mahkamah

FOTO: Reuters

PARIS: Paris St Germain (PSG) akan membawa kes tuntutan gaji bekas bintangnya, Kylian Mbappe ke mahkamah selepas badan induk liga bola sepak Perancis (LFP) membuat keputusan berpihak kepada kapten skuad kebangsaan negara itu.

Media Perancis melaporkan, pemain 25 tahun itu, yang enggan mengulas berkenaan kes terbabit, menuntut gaji sekitar 55 juta euro (RM257.86 juta) dan bonus daripada kelab.

Juara Ligue 1 itu bagaimanapun mendakwa, kontrak Mbappe diubah mengikut peraturan dan pemain itu melanggar perjanjian baharu apabila dia meninggalkan kelab dan menyertai gergasi Sepanyol, Real Madrid akhir musim lalu.

Menurut PSG, Mbappe pada bulan lalu menolak tawaran daripada LFP untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Suruhanjaya Rayuan LFP mendengar kenyataan kedua-dua pihak pada 15 Oktober lalu dan mengumumkan keputusannya pada Jumaat – yang berpihak kepada Mbappe.

“Kelab perlu membayar gaji yang dituntutnya. Keputusan ini tidak boleh dirayu, tetapi boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Eksekutif FFF (Persekutusan Bolasepak Perancis).

PSG berkata, mereka terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah dan pada masa sama mencari penyelesaian dengan Mbappe, penjaring terbanyak kelab itu sepanjang tujuh tahun dia di Paris.

“Kontrak asal diubah mengikut peraturan pada Ogos 2023 berkaitan musim 2024-25, dan dipersetujui oleh pemain termasuk pada Januari 2024 – sehingga pemain itu kemudian memutuskan untuk melanggar komitmennya dengan meninggalkan kelab,” kata jurucakap PSG.

Januari lalu, Mbappe mendedahkan dia membuat perjanjian dengan pengerusi PSG, Nasser Al-Khelaifi yang menjaga kepentingan semua pihak. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini