comscore
Tumpuan :
Sukan

PSG julang Trofi Juara-Juara Perancis

Kylian Mbappe meledak gol kedua Paris Saint-Germain ketika aksi Trofi Juara-Juara Perancis menentang Toulouse di Parc des Princes, Paris. – FOTO: Reuters

PARIS: Jaringan babak pertama Lee Kang-in dan Kylian Mbappe memastikan trofi pertama buat Paris Saint-Germain musim ini selepas menewaskan Toulouse 2-0 dalam aksi Trofi Juara-Juara Perancis.

Kang-in, yang beraksi pada perlawanan terakhirnya sebelum menyertai Korea Selatan untuk saingan Piala Asia di Qatar, membuka jaringan pada minit ketiga aksi di Parc des Princes.

Mbappe menambah jaringan sebelum rehat untuk Paris menjulang trofi berkenaan buat kali ke-10 sepanjang 11 musim lalu.

“Kami cukup luar biasa di babak pertama. Ia adalah 45 minit terbaik kami di sini,” kata pengendali PSG, Luis Enrique yang menjulang trofi pertamanya sebagai jurulatih sejak meninggalkan Barcelona pada tahun 2017.

Kelebihan itu digunakan sebaiknya oleh anak buah Enrique untuk menguasai permainan dan Kang-in memastikan serangan pertama pasukannya diakhiri dengan jaringan.

Ia adalah gol ketiga Kang-in musim ini, dan tonik terbaik buatnya sebelum membantu Korea Selatan memburu kejuaraan Piala Asia buat pertama kali sejak tahun 1960.

Mbappe, yang kontraknya akan berakhir musim ini dan bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab, meledak gol ke-22 dirinya dalam semua kejohananan pada kempen kali ini untuk memastikan kemenangan PSG.

Trofi Juara-Juara adalah perlawanan pembuka tirai untuk saingan Liga Perancis.

Toulouse, layak merebut Trofi Juara-Juara selepas menjuarai Piala Perancis musim lalu. – AGENSI

Loading...
Terkini