comscore
Tumpuan :
Sukan

Qatar merendah diri, Iran buru kejuaraan kali keempat

Foto: AFC/ Facebook

DOHA: Meskipun dilabel pasukan pilihan dan memiliki kelebihan selaku tuan rumah, Qatar tidak sesekali leka apabila berdepan Iran pada separuh akhir kedua Piala Asia  di Stadium Al Thumama di sini, malam nanti.

Ketua jurulatih Qatar, Tintin Marquez sedar Iran yang bakal ditemui malam ini, bukan calang-calang lawan apatah lagi selepas kejayaan menundukkan pasukan nombor satu Asia, Jepun 2-1 pada suku akhir, Sabtu lalu.

Pengendali dari Sepanyol itu juga melihat Iran pasukan yang kuat dengan barisan pemain yang beraksi di Liga Eropah, sebahagian besar di Liga Belanda dan Belgium.

“Iran sudah lama tidak menjuarai kejohanan ini (kali terakhir pada 1976) dan kami pasti kami bakal berdepan pasukan yang kuat, mereka beraksi cemerlang pada aksi kumpulan sehingga mara ke final dan pasukan ini ada kemampuan untuk memenangi trofi,” kata Marquez pada sidang media pra perlawanan.

Qatar mara ke suku akhir selepas melepasi tentangan sengit Uzbekistan menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 setelah terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan pada aksi 16 pasukan terakhir.

Pada aksi Kumpulan A, juara bertahan itu muncul pasukan pertama ke kelompok 16 pasukan terakhir, menang ketiga-tiga perlawanan mengalahkan Lubnan 3-0, Tajikistan dan China masing-masing dengan 1-0  sebelum menewaskan Palestin 2-1 pada suku akhir.

Sementara itu, pengendali Iran Ardeshir Ghalehnoy dalam misi memburu kejuaraan keempat selepas kali terakhir mengecapnya 48 tahun lalu selaku tuan rumah.

Menyoroti perjalanan Iran di Doha, mereka muncul juara Kumpulan C, mengumpul mata maksimum menundukkan Palestin 4-1, Hong Kong (1-0) dan Emeriah Arab Bersatu (2-1).

Bagaimanapun pasukan ranking ke-21 dunia itu agak cemas pada aksi 16 pasukan terbaik apabila dipaksa bekerja keras sebelum mengalahkan Syria menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 1-1.

Pertemuan Qatar menentang Iran dijadual berlangsung di Stadium Al Thumama jam 11.00 malam ini waktu Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini