comscore
Tumpuan :
Sukan

Queenie Dijangka Pecah Rekod Kebangsaan Miliknya Disember Ini

Pemegang rekod lempar cakera wanita negara, Queenie Ting

KUALA LUMPUR: Pemegang rekod lempar cakera wanita negara, Queenie Ting Kung Ni tetap positif catatan miliknya boleh dipecah menerusi penyertaan di beberapa kejohanan dalam tempoh terdekat ini.

Ketika ini, atlet berusia 24 tahun itu memegang rekod kebangsaan dengan catatan 52.36 meter (m) yang dilakukan pada Sukan Sea Hanoi 2021 di Vietnam pada Mei lalu.

Enam kejohanan seterusnya menyaksikan Queenie hanya sekali dapat mengatasi jarak 50m iaitu 51.32m sewaktu Sukan Sukan Institusi Pengajian Tinggi di Tanjung Malim, Perak pada Ogos lalu.

Jurulatihnya, Mohamad Ali Hamid berkata, berdasarkan prestasi terkini atlet itu, kemungkinan dia tidak menghadapi masalah untuk mencapai kemuncak prestasi pada Disember nanti.

“Ini adalah pembuka musim baharu menjelang 2023 bagi Queenie. Catatan terakhir pada macrocycle 3 sebelum ini adalah 47.73m dilakukan di Kejohanan All Comers Perak pada Februari lalu.

“Kemudian prestasinya memuncak di Sukan Sea Hanoi dengan rekod kebangsaan 52.36m. Jadi, saya jangka macrocycle 1 bagi musim 2022/2023 adalah pada Grand Final Sirkit IPT dari 15 hingga 18 Disember nanti.

“Kebiasaannya kitaran macrocycle dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Atlet berupaya melakukan catatan lebih baik sehingga lima meter dalam setiap macrocycle,” katanya.

Sepanjang enam kejohanan sejak Sukan Sea Hanoi, Queenie berjaya meraih pingat emas sebanyak empat kali termasuk Sukan Universiti Asean 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand pada Julai lalu.

Queenie cuma dua kali terlepas podium iaitu di Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turki pada Ogos dan Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun, baru-baru ini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini