
SEREMBAN: Selepas menyingkirkan dua jaguh Mesir pada suku akhir dan separuh akhir, pemain negara Rachel Arnold terpaksa akur pada seorang lagi pemain Mesir pada aksi final Kejohanan Piala Skuasy Malaysia di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Said, hari ini.
Berhadapan Noul El Tayeb, juga pilihan pertama kejohanan, Rachel tampak bergelut sepanjang perlawanan.
Noul, pemain No. 6 dunia, nyata unggul untuk menguasai gelanggang sekaligus mudah menewaskan Rachel dengan keputusan 11-2, 11-4, 11-4 dalam tempoh 15 minit.
“Kaki kanan saya tidak berapa okey selepas set pertama. Saya sudah cuba sebaik mungkin selepas itu tetapi masih tidak dapat (beraksi pada tahap terbaik).“Secara keseluruhan saya gembira kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir kerana ini adalah pencapaian terbaik dalam karier saya setakat ini.”kata Rachel.
Rachel mencuri tumpuan kali ini selepas mengejutkan pilihan kedua dari Mesir, Farida Mohammed di peringkat suku akhir dan Malak Khafagy pada separuh akhir.
“Ia membuktikan kerja keras saya telah menuai hasil. Namun, saya sedikit kecewa kerana hari ini bukan prestasi terbaik saya,” jelas Rachel sejurus tamat perlawanan.