comscore
Tumpuan :
Sukan

RAGBI ASIA B20: Malaysia tamatkan saingan di kedudukan ketiga, skuad wanita turut ceria di tangga keempat

FOTO: MALAYSIA RUGBY / Facebook

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

TASHKENT: Skuad ragbi bawah 20 tahun negara menamatkan kempen Kejuaraan Ragbi Asia 7 Sebelah Bawah 20 tahun di tempat ketiga selepas mengatasi India pada penentuan klasifikasi 3/4.

Ia sekaligus memperbaiki kedudukan tangga kelima yang diraih di kejohanan sama pada 2019.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia jelas berada dalam kelas tersendiri dengan memenangi kesemua tiga perlawanan.

Skuad negara mengatasi India menerusi kemenangan 26-17, dan kemudiannya tampil dengan aksi cukup bertenaga ketika membenam Kyrgyzstan dengan keputusan 57-0.

Paling sengit ketika berdepan pasukan negara jiran, Thailand sebelum Malaysia ceria dengan kemenangan 19-17, mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi skuad negara apabila tewas kepada pasukan tuan rumah, Uzbekistan 12-17.

Aksi klasifikasi 3/4, Malaysia akhirnya ceria dengan penamat di tempat ketiga selepas menundukkan India menerusi kemenangan 26-12.

Sementara itu dalam saingan wanita, Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan tangga kelima yang diraih pada 2018 dengan penamat di tempat keempat keseluruhan.

FOTO: MALAYSIA RUGBY / Facebook

Bermula dengan kekalahan 10-29 kepada India, kem negara akhirnya ceria dengan kemenangan 19-7 ke atas Thailand.

Semangat melawan turut dipamerkan barisan pemain wanita negara walaupun terpaksa akur dengan kekalahan12-19 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 10-12, tewas kepada tuan rumah, Uzbekistan.

Dan penentuan klasifikasi 3/4, Thailand bagai membalas kekalahan yang dialami dalam saingan peringkat kumpulan, membenam skuad negara dengan keputusan 0-43.

Loading...
Terkini