KUALA LUMPUR: Ranking skuad Harimau Malaya jatuh satu anak tangga dalam kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Selepas kekalahan 0-4 kepada New Zealand pada aksi persahabatan antarabangsa 14 Oktober lalu, skuad kendalian Pau Marti Vicente kini berada di tangga ke-133 berbanding ke-132 dunia sebelum ini.
“Kemas kini terbaharu ranking Fifa hari ini, Malaysia di tangga 133 dunia, turun 1 anak tangga berbanding 132 pada kemas kini terdahulu, 19 September 2024.
“Kemas kini seterusnya 28 November 2024,” kata FAM di laman Facebook milik badan induk bola sepak tempatan itu.
Pada jendela aksi antarabangsa bulan ini, skuad negara sekadar mengharungi satu perlawanan antarabangsa Tier 1, dengan satu lagi aksi menentang kelab bola sepak New Zealand yang berstatus Tier 2.
Dalam aksi dengan kelab Auckland FC di Stadium Go Media, Auckland, menyaksikan Malaysia terikat 1-1 dengan gol tunggal pasukan negara dijaringkan Nooa Laine.
Selepas itu, anak buah Vicente tumbang 0-4 kepada New Zealand dalam perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland.
Pada jendela aksi antarabangsa November ini, pasukan kebangsaan akan bertemu India yang berada di ranking ke-125 dunia.
Perlawanan itu dijadual berlangsung di tempat lawan.
Manakala satu lagi aksi akan diumumkan FAM dalam masa terdekat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.