Tumpuan :
Sukan

Renang, olahraga antara enam lagi sukan ke Olimpik dapat tambahan dana

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bergambar bersama peserta pada Majlis perasmian KBS Masters Games di MSN. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Bukan empat, tetapi enam lagi sukan yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) mendapat tambahan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membangunkan bakat baharu.

Tambahan enam sukan itu adalah terjun, badminton, berbasikal, skuasy, renang dan olahraga.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan empat sukan akan mendapat tambahan dana RM1 juta bagi setiap sukan iaitu angkat berat, memanah, taekwondo dan menembak.

Hannah ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan KBS Masters 2024, hari ini, berkata adalah amat penting untuk negara memberi fokus kepada pembangunan bakat 10 sukan berkenaan.

“Sebenarnya bukan saja empat sukan, kita dapat (peruntukan) untuk 10 sukan. Sukan ini kita pilih untuk pembangunan bakat.

“Kerana kita fikir sukan ini adalah sukan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan penting untuk Malaysia mempunyai pelbagai usaha bagi membangunkan bakat dalam sukan ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai edisi pertama Kejohanan KBS Masters 2024 yang membabitkan peserta di atas usia 40 tahun, Hannah berkata, temasya bermula esok sehingga Ahad ini mendapat sambutan lebih 1,500 penyertaan.

Katanya, 17 daripadanya adalah bekas atlet kebangsaan serta selebriti, antaranya legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi yang akan beraksi dalam sukan pickleball.

“Ada 12 sukan akan dipertandingkan hujung minggu ini dan saya berharap dengan adanya kesedaran ini, persatuan sukan akan mampu menarik minat lebih ramai warga emas menyertai temasya ini.

“Saya berharap temasya ini akan dijadikan satu acara tahunan dengan mensasarkan 3,000 penyertaan pada tahun depan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini