
Oleh: Hasnida Hanim Ahmad Kamil
CHENGDU, CHINA: Perenang kebangsaan Khiew Hoe Yan terpaksa akur sekadar menduduki tempat ke-4 pada aksi final acara 200 meter gaya bebas yang berlangsung di Pusat Akuatik Dong’an Lake Sports Park malam tadi.
Sandaran Malaysia untuk menambah pingat di Universiade Chengdu terarah kepada jaguh renang negara, Khiew Hoe Yan pemenang pingat emas tunggal negara pada acara renang di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu.
Bagaimanapun persaingan di Universiade terlalu sukar buat Hoe Yan yang berada pada kedudukan ke-8 pada 50 hingga 100 meter pertama. Namun dia mengerah kudratnya dan berjaya memintas pada saingan akhir untuk berada pada kedudukan ke-4 dengan catatan masa 1 minit 48 perpuluhan 28 saat.
Pingat emas dimenangi K.A Sieradki dari Poland dengan masa 1 minit 47 perpuluhan 60 saat. Manakala pingat perak milik Tomas Navikonis dari Lituania, 1 minit 47 perpuluhan 73 saat.
Pingat gangsa menjadi milik Giovanni Caserta dari Itali menerusi catatan 1 minit 48 perpuluhan 01 saat.
Biarpun gagal menyumbang pingat, catatan masa oleh Hoe Yan di Universiade memberikan tanda positif menjelang penyertaannya di Sukan Asia Hangzhou September nanti. Beliau dijangka turun beraksi dalam acara saringan 100 meter gaya bebas hari ini.
“Saya puashati, ini catatan masa kedua terpantas saya musim ini dan adalah peluang terbaik saya bersaing di kejohanan tahap dunia seperti ini. Sesiapa pun ada peluang untuk naik podium tadi, saya dah cuba sehabis daya, ia cuma 0.1 saat daripada catatan terbaik saya waktu di Fukuoka”.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat di Universiade adalah menerusi Jeffrey Ong pada Universiade Sheffield 1991, iaitu pingat perak menerusi acara 1500 meter gaya bebas.