Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
JIANGSU: Cubaan Malaysia melakar sejarah di Terbuka China tidak kesampaian apabila pemain beregu campuran Goh Soon Huat/ Shevon Lai tewas aksi penentuan juara.
Tiada wakil negara pernah munjul juara kategori tersebut di negara tembok besar itu sejak edisi sulung pada 1986 sekaligus memanjangkan lagi kemarau kejuaraan.
Gandingan ranking ke-12 dunia itu yang menentang pilihan kedua, Feng Yan Zhe/ Huang Dong Ping membuat permulaan baik menerusi permainan mantap yang berakhir kemenangan 21-16.
Lawan kemudian bangkit dari ketinggalan 0-5 di set kedua hinggalah terlebih dahulu sampai ke mata akhir 21 berbalas 14 untuk mengheret ke perlawanan penentuan.
Cabaran Soon Huat/ Shevon kian pudar di set ketiga namun cubaan membuat kebangkitan dramatik tidak kesampaian terpaksa akur dengan catatan 17-21.
Ini merupakan podium naib juara pertama mereka di tahun 2024, selepas berjaya merangkul gelaran di Terbuka Switzerland pada Mac dan Masters Malaysia sebulan selepas itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.