
Oleh: Hazreen Mubarak
PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dinaikkan pangkat kini memegang jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan ABM.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh hari ini dengan pengumuman rasmi akan dibuat ABM dalam masa terdekat.
Bagi BAM, pemilihan Rexy sebagai Pengarah Kejurulatihan ABM yang baharu adalah keputusan yang terbaik dan tepat.
Tambah Datuk Kenny lagi, Rexy juga memainkan peranan penting ketika membimbing beregu lelaki negara iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sehingga melakar sejarah menjadi wakil pertama negara muncul juara dunia tahun lalu.
“Saya rasa ini yang terbaik kerana Rexy sebelum ini ada pengalaman jadi Pengarah Badminton Indonesia dan Thailand. Beliau memang banyak pengalaman dan kita tahu dia seorang legenda arena badminton. Jadi saya rasa ini perlantikan yang paling sesuai.”
Dengan perlantikan ini, ia sekaligus mengisi kekosongan ditinggalkan Wong Choong Hann yang kini menjadi Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki skuad kebangsaan Hong Kong.
Peranan Rexy meliputi keseluruhan aspek kejurulatihan di ABM; termasuklah bahagian perseorangan dan beregu.
Tugasan pertama Rexy adalah mengetuai skuad badminton negara yang sedang beraksi di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.