comscore
Tumpuan :
Sukan

Ribuan Peminat Dari Indonesia Bakal Meriahkan Kejuaraan Dunia MotoGP

JAKARTA: Kira-kira 8,000 peminat dari Indonesia dijangka hadir memeriahkan Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Sepang pada 21 hingga 23 Okt ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif berkata peminat tegar di Indonesia, teruja untuk menyaksikan perlumbaan kedua terakhir dalam kalendar 2022, yang bakal menjadi venue yang akan menobatkan Juara Dunia pada penghujung musim nanti.

Beliau tidak menafikan perlumbaan yang ditawarkan musim ini agak berbeza, selepas ketiadaan Valentino Rossi yang bersara pada musim lalu sekali gus mempengaruhi pembelian tiket dikebanyakan litar.

“Tetapi dengan kepulangan Marc Marquez ke Misano sebelum ini, diharap dapat memberi peluang untuk beliau datang ke Litar Antarabangsa Sepang nanti,” katanya pada taklimat media sempena lawatan serantau di Jakarta dan Bandung, dengan kerjasama Tourism Malaysia Jakarta.

Marquez, juara dunia lapan kali pada Selesa dilaporkan kembali mengendali jentera Pasukan Repsol Honda dalam ujian di Litar Dunia Misano, Itali, 100 hari selepas menjalani pembedahan tulang lengan.

Menurut Azhan, jumlah sasaran berkurang berbanding musim 2019 yang mencatatkan 11,000 peminat dari Indonesia, disebabkan harga tiket kapal terbang mahal dan pengurangan jumlah penerbangan.

SIC menyasarkan lebih 170,000 penonton ke Litar Antarabangsa Sepang tahun ini dan komited memastikan kualiti MotoGP Malaysia berada di peringkat tertinggi.

“Pembelian tiket yang agak perlahan sebelum ini, mula menunjukkan peningkatan dalam tempoh seminggu ke dua minggu lepas,” kata Azhan.

Sementara itu Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Junus Suhid berkata penganjuran MotoGP di Sepang setelah dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, mampu mendorong lebih ramai pelancong Indonesia ke Malaysia.

“Kita yakin acara ini yang mempunyai ramai peminat di Indonesia akan hadir ke Malaysia dan akan meningkatkan ketibaan mereka pada Oktober ke Malaysia,” katanya.

Sasaran ketibaan pelancong Indonesia ke Malaysia tahun ini disemak semula menjadi 400,000 pelancong berbanding sasaran awal seramai 180,000 pelancong.- BERNAMA

Loading...
Terkini