comscore
Tumpuan :
Sukan

Ronaldo Ledak Gol ke-700, United Atasi Everton

Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo (kanan) menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menentang Everton di Goodison Park, Liverpool, Britain. | Foto: Reuters

LIVERPOOL: Erik ten Hag berharap gol ke-700 Cristiano Ronaldo bersama kelab dalam kariernya boleh mencetuskan kembali prestasi penyerang itu selepas penyerang Portugal itu menjaringkan gol kemenangan Manchester United 2-1 di Everton awal pagi tadi.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu sudah biasa dengan kehidupan di tepi padang di bawah kendalian Ten Hag selepas hanya bermula sekali dalam Liga Perdana musim ini.

Ronaldo sekali lagi diletakkan di bangku simpanan tetapi diberikan peluang awal kerana kecederaan dialami Anthony Martial.

Pemain berusia 37 tahun itu mengambil peluang sebelum tamat babak pertama bagi memberikan United tiga mata dalam aksi memperlihatkan banyak kesilapan dilakukan kedua-dua pasukan.

“Setiap pemain memerlukannya (keyakinan), walaupun anda adalah yang terbaik di dunia,” kata Ten Hag selepas jaringan pertama Ronaldo dalam Liga Perdana musim ini.

“Saya bekerja dengan ramai penjaring gol dan mereka memerlukan gol setiap musim untuk mendapatkan perasaan itu, mengesahkan naluri mereka.

“Apabila mereka mendapatkan sebahagian gol, ia akan berterusan dan perlawanan akan menjadi mudah. Itu juga akan berlaku terhadapnya.”

Skuad Red Devils cuba membalas selepas dibelasah 6-3 oleh Manchester City minggu lalu tetapi bermula dengan buruk.

Pada aksi Liga Perdana pertama sejak tiba dari Real Madrid, Casemiro melakukan kesilapan menyebabkan gol pembukaan apabila bola dirampas Amadou Onana membolehkan Alex Iwobi melencongkan bola ke penjuru dari luar kotak penalti.

Everton hadir ke perlawanan itu dengan rekod pertahanan paling baik dalam liga, namun United menyamakan kedudukan selepas 10 minit.

Antony yang menjadi pemain pertama United menjaringkan gol dalam tiga aksi awal Liga Perdana menamatkan hantaran baik Martial.

Martial hanya bertahan setengah jam selepas mengalami kecederaan pinggul.

Ia memberi ruang buat Ronaldo untuk masuk dan dia hanya memerlukan 14 minit bagi melakukannya.

Casemiro membalas kesilapannya dengan memenangi bola di tengah dan menghantar bola kepada bekas rakan sepasukannya di Real Madrid itu yang meledak rendah mengatasi Jordan Pickford.

Jaringan itu menambah jumlah gol Ronaldo buat United kepada 144.

Pemegang rekod Madrid itu menjaringkan 450 gol buat gergasi Sepanyol itu manakala 101 buat Juventus dan lima buat Sporting Lisbon. – AFP

Loading...
Terkini