comscore
Tumpuan :
Sukan

Ronaldo terajui Portugal ke Piala Dunia

Pengendali Portugal, Fernando Santos mengumumkan skuad 26 pemain ke Piala Dunia Qatar. – FOTO: REUTERS

OEIRAS: Cristiano Ronaldo akan menerajui cabaran Portugal ke Piala Dunia selepas Fernando Santos menyenaraikan penyerang veteran itu dalam skuad terakhirnya ke Qatar.

Penyerang Manchester United berusia 37 tahun itu, yang bukan lagi pilihan utama di bawah kendalian Erik ten Hag, masih menjadi sandaran Portugal untuk memburu kejuaraan sulung di kejohanan itu.

Ronaldo, kapten dan penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa lelaki dengan 117 gol, dibantu penyerang-penyerang muda termasuk Joao Felix (Atletico Madrid) dan Rafael Leao (AC Milan).

“Semua pemain dalam senarai saya ialah mereka yang dahagakan kemenangan dan mahu menjadikan Portugal juara dunia, termasuk Ronaldo,” kata Santos.

Ini adalah edisi Piala Dunia kelima Ronaldo, selepas dia beraksi pada setiap edisi bermula dari tahun 2006.

Santos, yang membimbing Portugal menjuarai Euro 2016 di Perancis, tidak menyenaraikan Renato Sanches dari Paris Saint-Germain, sebaliknya memanggil pemain tengah Wolves, Matheus Nunes.

“Apa yang paling penting ialah pemain-pemain akan pergi ke Piala Dunia. 26 yang terpilih merasakan ia adalah pilihan tepat, dan yang tidak terpilih merasakan sebaliknya,” katanya.

Santos turut menyenaraikan bek tengah Benfica, Antonio Silva, 19, serta Pepe yang berusia 39 tahun.

Pertahanan Porto itu tidak bermain sejak 4 Oktober kerana kecederaan lutut tetapi dijangka pulih menjelang kejohanan di Qatar, yang akan bermula 20 November ini.

Penyerang Liverpool, Diogo Jota terlepas aksi Piala Dunia akibat kecederaan betis.

Joao Moutinho, 36, yang tampil 146 kali untuk negaranya, melebihi pemain-pemain lain selain Ronaldo, juga tidak dipanggil, begitu juga rakan sepasukannya, Goncalo Guedes.

Portugal memulakan kempen Kumpulan H menentang Ghana pada 24 November, sebelum berdepan Uruguay pada 28 November dan Korea Selatan pada 2 Disember.

Skuad penuh:

Penjaga gol: Diogo Costa (Porto), Rui Patricio (Roma/ITA), Jose Sa (Wolverhampton/ENG)

Pertahanan: Diogo Dalot (Manchester United/ENG), Joao Cancelo (Manchester City/ENG), Danilo Pereira (Paris Saint-Germain/FRA), Pepe (Porto), Ruben Dias (Manchester City/ENG), Antonio Silva (Benfica), Nuno Mendes (Paris Saint-Germain/FRA), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund/GER)

Tengah: Ruben Neves (Wolverhampton/ENG), Joao Palhinha (Fulham/ENG), William Carvalho (Real Betis/ESP), Bruno Fernandes (Manchester United/ENG), Vitinha (Paris Saint-Germain/FRA), Otavio (Porto), Joao Mario (Benfica), Matheus Nunes (Wolverhampton/ENG), Bernardo Silva (Manchester City/ENG)

Penyerang: Rafael Leao (AC Milan/ITA), Joao Felix (Atletico Madrid/ESP), Ricardo Horta (Braga), Goncalo Ramos (Benfica), Cristiano Ronaldo (Manchester United/ENG), Andre Silva (RB Leipzig/GER) – AFP / BERITA HARIAN

Loading...
Terkini