
KUALA LUMPUR: Selepas seiring bersama mengecapi suka duka dalam sukan berkuda, Atlet ekuestrian negara Qabil Ambak Mahamad Fathil mengesahkan kuda tunggangannya Rosenstolz kini telah ‘bersara’ dan menikmati persaraan yang bagus di Eropah.
Qabil menyifatkan Rosenstolz banyak berjasa terhadap beliau dan adiknya Quzandria Nur dalam memenangi pingat emas dan gangsa dalam beberapa siri Sukan SEA dan Sukan Asia.
“Sukan Asia (Hangzhou 2022) itu adalah pertandingan terakhir dan saya rasa ia adalah pengakhiran yang baik baginya.
“Saya rasa kuda itu banyak menyumbang bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk negara, jadi saya fikir sudah tiba masanya disebabkan faktor umur untuk ia berehat dan bersara. Tidak bagus untuk terus menekannya, ia telah banyak berjasa,” katanya sambil menghargai keserasian beliau dan adiknya bersama kuda itu sehingga kini
Tambah Qabil, keserasian bersama kuda amat penting untuk mencipta kejayaan dalam sukan itu dan ia memerlukan kerjasama penunggang, jurulatih, doktor haiwan dan penjaga kuda untuk merealisasikannya.
Qabil yang merangkul emas bersama kudanya, Rosenstolz selepas mencatatkan 75.780 mata di Sukan Asia di Hangzhou, telah menerima RM5,000 daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan untuk kejayaan itu, semalam.
Pernah memberi bayangan untuk bersara, namun tidak menjelaskannya lebih lanjut, Qabil turut memberi petua kepada bakat muda dalam sukan tersebut untuk mencipta kejayaan sepertinya.
“Saya rasa atlet muda harus sanggup berkorban masa, tenaga juga wang ringgit untuk negara, pengorbanannya agak besarlah sebagai atlet. Separuh daripada hayat saya, dihabiskan dalam sukan ini dan saya fikir ia adalah perjalanan yang panjang dan sukar tapi akhirnya anda akan rasa berbaloi dengan kemenangan pingat emas ini.
“Saya rasa ini satu kenangan yang saya tidak boleh lupakan kerana berupaya untuk menyumbang kepada negara dan mewakili Malaysia,” katanya yang bangga dapat bertanding mewakili negara sejak 1995.