comscore
Tumpuan :
Sukan

Rublev mara ke separuh akhir

Rublev berjaya mengiringi Djokovic ke separuh akhir Final ATP. Foto: AP

TURIN: Andrey Rublev menempah tempat ke separuh akhir Final ATP di Turin selepas bangkit daripada tumpas di set pertama untuk mengalahkan Stefanos Tsitsipas 3-6, 6-3, 6-2.

Kemenangan Rublev itu menyaksikan dia mengatasi Tsitsipas dalam Kumpulan Merah dan menduduki tempat kedua di belakang Novak Djokovic.

Ketika saingan kumpulan sekarang ini sudah berakhir, Djokovic bakal berdepan pemain Amerika Syarikat (AS), Taylor Fritz, manakala juara Kumpulan Hijau dari Norway, Casper Ruud akan menentang Rublev.

Dalam aksi pagi tadi yang menjanjikan tiket ke separuh akhir kepada pemenang, Tsitsipas kelihatan mampu mencatat kemenangan ketiga ke atas Rublev musim ini selepas menang set pertama.

Bagaimanapun, Rublev yang menduduki ranking ketujuh dunia tidak gentar dan mengatasi lawannya dari Greece itu dengan pukulan berkualiti untuk menempah slot separuh akhir buat kali pertama.

“Saya tidak menyerah kalah. Saya terus berjuang dan bermain.

“Saya hanya memberikan yang terbaik dan berjaya mengubah keputusan permainan. Saya gembira berjaya layak ke separuh akhir,” kata Rublev.

Djokovic meletakkan dirinya sebagai pemain pilihan selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menumbang Daniil Medvedev 6-3, 6-7 (5/7) 7-6 (7/2) sebelum itu.

Juara Grand Slam sebanyak 21 kali itu sudah pun menempah tempat ke separuh akhir selepas berjaya menumbangkan Rublev dan Tsitsipas dalam aksi terdahulu. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini