Tumpuan :
Sukan

Sabah FC beri hadiah perpisahan buat Kim Swee, belasah PT Athletic FC 4-0

Aksi Sabah FC menentang PT Athletic FC di Stadiun Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.-FOTO FB MFL

KUALA LUMPUR: Sabah FC memberi hadiah perpisahan bermakna buat pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee apabila menewaskan PT Athletic FC 4-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ia menjadi perlawanan terakhir Kim Swee bersama Sang Badak apabila bekas pengendali skuad kebangsaan itu tidak menyambung kontraknya yang akan berakhir bulan ini.

Sabah yang turun selaku pasukan pilihan berada di depan pada minit ke-13 hasil jaringan Saddil Ramdani sebelum Danial Haqim Draman menambah gol kedua enam minit kemudian.

Pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin berjaya merapatkan kedudukan buat PT Athletic pada minit ke-58, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR).

Pemain gantian, Daniel Ting mengukuhkan kedudukan buat Sabah apabila meledak gol ketiga pada minit ke-78 sebelum Sang Badak meraih jaringan keempat selepas hantaran Ummareng Bacok tertampan pertahanan PT Athletic dan menerjah jaring.

Kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertembung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Rabu ini selepas Stadium Likas tidak dapat digunakan susulan penganjuran Kejohanan Olahraga Remaja ASEAN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini