comscore
Tumpuan :
Sukan

Sabah FC uji trio import

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Keserasian tiga tunggak import Sabah FC yang baharu diikat pada awal Januari lepas, bakal diuji pada tiga perlawanan persahabatan yang berlangsung di Thailand pada 27 Januari ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, kesebelasan utamanya akan berangkat ke Bangkok pada 27 Januari ini dan bermain dengan tiga kelab dari Korea, Thailand dan Denmark.

“Tiga perlawanan ini cukup penting untuk memastikan kita mendapat rentak terutamanya dengan adanya ramai pemain baharu bersama pasukan Sabah FC.

“Jadi saya harap dengan adanya kem latihan yang diadakan di Thailand akan mampu membentuk satu kombinasi yang baik sebelum kita bermula dengan perlawanan-perlawanan yang lain,” katanya.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata, ketika ditemui pemberita sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman keluarganya di Lorong Pandan, di sini, hari ini.

Media sebelum ini, melaporkan Sabah FC telah mengikat tiga pemain import baharu iaitu bekas pemain Gremio Esportivo Brasil Gabriel Peres, bekas pemain kelab IBV di liga Iceland Telmo Castanheira dan bekas pemain import Kelantan yang berasal dari Nigeria, Jacob Njoku.

Kehadiran tiga pemain import ini sekali gus memperkuatkan Sabah FC yang kini telah mempunyai lima pemain import termasuk Saddil Ramdani dan Park Taesu yang telah disambung kontrak.

Dalam pada itu, pengendali berusia 52 tahun itu juga mengakui memerlukan sedikit masa lagi dalam memantapkan barisan pasukannya meskipun telah menjalani latihan selama tiga minggu.

“Secara asasnya kita memerlukan tiga hingga lapan minggu latihan untuk memastikan pemain berada pada tahap kecergasan yang cukup tinggi.

“Jadi kita harap para pemain dapat meneruskan latihan yang mana ini penting dalam memastikan pasukan memiliki ramai pemain yang boleh beraksi sepanjang tahun ini memandangkan pada tahun ini kita mempunyai banyak perlawanan dan setiap pemain dalam Sabah FC adalah penting,” jelasnya.

Loading...
Terkini