comscore
Tumpuan :
Sukan

Sabah, Kuching City berentap di suku akhir

KUALA LUMPUR: Dua pasukan Borneo, Sabah FC dan Kuching City FC akan berentap sesama sendiri di suku akhir Piala Malaysia selepas berjaya mengatasi lawan masing-masing pada pusingan 16 pasukan, sebentar tadi.

Kejutan tercipta di Stadium Negeri selepas Kuching City FC yang beraksi dalam Liga Perdana menyingkirkan pasukan Liga Super, Penang FC 4-3 secara agregat.

Terikat 2-2 pada aksi pertama di Stadium Bandaraya, skuad Harimau Kumbang terlebih dahulu di depan menerusi Adib Raop pada minit ke-22 sebelum sepakan percuma Alif Hassan mengikat kedudukan pada minit ke-61.

Kedudukan 3-3 secara agregat kekal sehingga 90 minit dan perlawanan diheret ke masa tambahan sebelum Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman meledak gol kemenangan buat Kuching City FC pada minit ke-118.

Sementara itu, aksi di Stadium Likas menyaksikan Sabah FC menyingkirkan satu lagi pasukan dari Liga Perdana, UiTM FC 3-2 secara agregat selepas terikat 1-1 pada aksi kedua, sebentar tadi.

Perlawanan terbabit ditangguhkan hampir sejam selepas cuaca buruk dengan permainan hanya dimulakan pada jam 8.50 malam.

Pada aksi terbabit, sepakan penalti yang disempurnakan Farhan Roslan pada minit ke-65 meletakkan skuad ‘Badak’ di depan, namun UiTM FC menghidupkan peluang menerusi jaringan lewat permainan Farez Aiman Marzuki di hujung permainan.

Namun gol tambahan yang dicari untuk UiTM FC mengheret perlawanan ke masa tambahan tidak berhasil sekali gus mereka tersingkir di peringkat 16 pasukan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini