comscore
Tumpuan :
Sukan

Safawi raih kejayaan berganda di Thailand

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi negara, Safawi Rasid meraih kejayaan berganda minggu ini yang pasti akan terus membakar semangatnya untuk beraksi di Liga Thailand.

Selepas membuka akaun golnya bersama Ratchaburi FC, nama pemain yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ‘lekat’ dalam senarai pemain terbaik mingguan Liga Thailand.

Perkembangan itu dikongsikan Liga Thailand menerusi laman Instagramnya, hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu dinobatkan sebagai antara pemain terbaik bagi minggu ke-24 dan dia menjadi satu-satunya pemain dari Ratchaburi yang disenaraikan.

Safawi menyertai beberapa pemain lain seperti Lonsana Doumbouya (Buriram), Tyronne del Pino (Nakhon Ratchasima) Jorge Fellipe (Lampang FC) dan Airton Tirrabasi (Port FC).

FOTO: Instagram/@thaileague

Terdahulu, Safawi berjaya meledak gol sulung dalam saingan Liga 1 Thai ketika membantu kelab Ratchaburi menewaskan Chonburi 2-1, malam tadi.

Lebih manis, jaringan Safawi pada masa kecederaan babak pertama itu menjadi gol kemenangan Ratchaburi untuk menghuni tangga kelima dengan mengumpul 38 mata selepas 24 perlawanan.

Jaringan pembukaan Ratchaburi dihasilkan pada minit ke-32 selepas penyerang dari Brazil, Derley menyempurnakan sepakan penalti.

Jaringan tunggal tuan rumah pula dihasilkan Danilo Alves yang menyudahkan umpanan Yoo Byung-Soo pada minit ke-56. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini