
LONDON: Liga Pro Saudi nampaknya sudah mengaku kalah untuk menandatangani Mohamed Salah walaupun bersedia membayar £200 juta (RM1.16 bilion) untuk pemain Mesir itu.
Al-Ittihad membuat bidaan £150 juta (RM875.4 juta) untuk penyerang itu Khamis lalu dan kekal berbincang dengan Liverpool sejak Sabtu, apabila Liga Pro Saudi menghantar wakil ke London.
Meskipun menerima tawaran lumayan, Liverpool kekal dengan pendirian mereka untuk tidak menjual Salah.
Jendela perpindahan pemain Arab Saudi sudah pun ditutup sekali gus Salah nampaknya kekal bersama The Reds.
Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp menganggap ia sudah selesai selepas menolak tawaran secara rasmi minggu lalu.
“Saya tidak pernah meragui komitmennya. Dia pemain kami dan mahu beraksi di sini,” kata Klopp.
Kelab Saudi itu mengintai situasi Salah sepanjang musim panas tetapi hanya cuba mendapatkannya pada saat akhir jendela perpindahan British, yang akhirnya merugikan mereka.
Ramai percaya Liverpool mungkin lebih bersedia untuk mengadakan perbincangan jika menerima tawaran itu sebulan lebih awal.