comscore
Tumpuan :
Sukan

Salah ledak 4 jaringan ke pintu gol Djibouti

Bintang Mesir, Mohamed Salah meraikan jaringan ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Djibouti di Stadium Antarabangsa Kaherah, Kaherah, Mesir. – Foto: Reuters

KAHERAH: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menjaringkan empat gol ketika Mesir memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dengan kemenangan 6-0 ke atas Djibouti.

Pemain 31 tahun itu kini sudah meledak 53 gol dalam 93 penampilan untuk negaranya, dan menjadi penjaring paling prolifik Mesir dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Dia menjaringkan 15 gol dalam 21 aksi kelayakan, mengatasi Mohamed Aboutreika yang meledak 14 gol dalam 25 penampilan antara tahun 2008 hingga 2013.

Pemain sayap itu terus mencipta rekod untuk negaranya, seperti di Liverpool, yang menyaksikan dia sudah mengumpul 12 gol dan empat umpanan gol dalam 17 perlawanan pertamanya.

Salah dan Mesir dilihat mampu melayakkan diri ke Piala Dunia di Amerika Utara pada tahun 2026, selepas terlepas kejohanan di Qatar tahun lalu.

Bintang Liverpool itu membuka jaringan selepas 17 minit, sebelum menggandakan kedudukan lima minit kemudian menerusi sepakan penalti.

Dia menambah dua gol lagi pada minit ke-48 dan 69, sebelum Mostafa Mohamed dan bekas pemain sayap Aston Villa, Trezeguet menemui sasaran.

Ia adalah perlawanan kelayakan Piala Dunia pertama Mesir sejak Salah terlepas sepakan penalti penting pada Mac 2022, yang membolehkan Senegal menang 3-1 dalam penentuan penalti untuk layak ke Qatar. – AGENSI

Loading...
Terkini