comscore
Tumpuan :
Sukan

Saling mempercayai bawa Pearly – Thinaah ke tahap ini

FOTO: NSTP

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

PARIS: Memang detik cukup bersejarah ditempa gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah selepas kejayaan menjuarai Siri Jelajah Dunia Super 750 BWF Terbuka Perancis 2022.

Atas kertas, kelebihan memihak lawan, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara yang merupakan pasangan nombor 7 dunia, sekaligus kemenangan yang dicipta memang tidak terjangka oleh Pearly dan Thinaah.

“Memang bukan dalam jangkaan kami dan kemenangan ini pastinya meningkatkan keyakinan kami, tetapi saya rasa masih ada ruang untuk peningkatan, kami akan pulang, terus berlatih dan kembali lebih kuat.

“Saya rasa, perkara paling penting adalah kepercayaan, kepercayaan bermain bersama, begitu juga dengan jurulatih, kepercayaan sangat penting untuk kami”, kata Pearly selepas perlawanan.

Kejayaan di Paris adalah kejuaraan kedua Pearly – Thinaah selepas memenangi Terbuka Switzerland pada Mac tahun lepas.

“Sudah tentu Eropah adalah lokasi yang baik untuk kami, kami sangat gembira beraksi di sini terutamanya dengan sokongan padu peminat di sini.

“Kami sangat gembira dapat bermain sehingga ke tahap ini, kami hanya mahu terus meningkatkan prestasi kami kerana masih banyak ruang untuk melakukannya.

“Memang kegembiraan berganda juga buat kami kerana kami berjaya melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir, ini juga merupakan permulaan untuk kami mempertingkatkan lagi permainan kami ke tahap yang lebih tinggi dan sudah tentu kami akan tampil lebih kuat selepas ini”, kata Thinaah.

Selepas Terbuka Perancis, misi seterusnya adalah Terbuka HYLO di Saarbrucken, Jerman.

Diletakkan sebagai gandingan pilihan ketiga kejohanan, Pearly – Thinaah akan memulakan saingan pusingan pertama menentang gandingan nombor 30 dunia dari Belanda, Debora Jille dan Cheryl Seinen.

Loading...
Terkini