comscore
Tumpuan :
Sukan

Sang Kenari dekati penyokong

Penyokong Kedah ketika hadir membanjiri stadium sebagai pemain ke-12 pasukan. Foto fail NSTP

ALOR SETAR: Dalam usaha menghadapi musim baharu, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus tampil dengan inisiatif menarik, apabila bakal menganjurkan sesi dialog bersama penyokong sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya, 10 Mei ini.

Sesi antara pihak pengurusan KDA dan kelab-kelab penyokong Sang Kenari secara bersemuka berkenaan akan diadakan pada 5 Mei ini dengan kehadiran pemilik majoriti Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di sini.

Menurut media KDA FC, sesi ramah mesra dan dialog itu bertujuan untuk memberi penjelasan hala tuju kelab pada musim baharu dan bertukar pandangan dengan penyokong.

“KDA FC dengan rendah diri ingin menjemput semua kelab penyokong untuk menghadiri sesi berkenaan pada jam 5 petang.

“Bagi memberi laluan kepada semua, dihadkan tiga wakil kelab penyokong dalam sesi perjumpaan yang akan diaturkan ini pada tempat yang akan diumumkan nanti,” katanya.

Pihak pengurusan kelab juga berkata sesi dialog dan beramah mesra ini usaha untuk terus menjalinkan ikatan perhubungan yang lebih rapat antara kelab dan penyokong Sang Kenari.

Berdasarkan rekod, Kedah mencatatkan lebih 20 kelab penyokong yang berdaftar dan sentiasa berdiri teguh dalam memberi sokongan mereka kepada pasukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini